Saturday, December 8, 2012

Antara guru agama dan ketua pengarah kesihatan

Salam,

Ramai yang mempertikaikan hukuman ke atas bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman dengan hukuman ke atas guru agama di Labuan. Tulisan ini bukan hendak menghukum atau membela sesiapa...namun mahu menjelaskan dari sudut dasar dan peraturan kerajaan.

Kes 1 : Guru agama JAWI


    lambang JAWI

Qatrun Nada Latfi, guru agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan telah dipecat selepas didapati menghadiri ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Labuan.

Kita harus faham bahawa Qatrun Nada Latfi hanyalah guru sementara iaitu dilantik secara kontrak dan boleh ditamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa oleh JAWI. Malah lantikan beliau tidak diurus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) melalui waran perjawatan tetapi diurus terus oleh JAWI kerana jawatan itu bersifat sementara.

Walaupun tidak wajar saudari Qatrun Nada Latfi dipecat hanya kerana hadiri ceramah politik..namun dari segi undang-undang...JAWI berhak memecatnya walaupun bermacam alasan tidak munasabah diberikan..kerana itu hak JAWI seperti yang tertera dalam kontrak lantikan sementara itu.

Kes 2 : Ketua Pengarah Kesihatan (Gred Turus II) dan Jururawat Gred U41


             pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman dan Jururawat, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan adalah kakitangan tetap kerajaan. Keduanya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan telah disahkan dalam perkhidmatan awam (jawatan TETAP).

Seperti yang kita sedia maklum, setiap pelantikan jawatan tetap oleh SPA atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) adalah melalui waran perjawatan yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Maka, adalah sangat sukar untuk memecat kakitangan kerajaan. Mereka hanya boleh dipecat jika didapati secara jelas membahayakan keselamatan negara, menentang kerajaan, dipenjarakan atau apa-apa yang difikirkan merugikan kerajaan.

Dalam kes 2, kedua-duanya tidak dipenjarakan kerana membayar denda yang dikenakan..kes mereka pun sebenarnya bersifat peribadi. Maka, pemecatan tidak dilakukan sebaliknya tindakan tatatertib lain yang diberikan. Tindakan SPA itu dikira wajar dan adil.

Kesimpulan,

Secara moralnya...pemecatan dalam kes 1 adalah kurang wajar walaupun JAWI berhak melakukannya kerana sudah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia..setiap warganegara berhak mengundi / menyokong mana-mana calon / parti yang mereka sukai. Sekatan kepada penjawat awam..hanyalah sekatan untuk memegang jawatan dalam parti dan BUKAN menghadiri ceramah parti.

Secara moralnya juga adalah tidak wajar dalam kes 2, mereka ditohmah dan dihina kerana kita tidak mengerti apa yang sebenarnya yang telah berlaku. Kalaupun, mereka mengaku salah berkhalwat..ingatlah Firman Allah :

Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

DAN..ingatlah kisah 2 Sahabat Nabi SAW, Saidina Umar Ibn Khatab dan Abdurrahman bin Auf :
Imam Al Syaukani membaca Surah al-Hujurat ayat 12, Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H) :

“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.

Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).

Kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).

Sekadar renungan...


                                                   Labuan yang indah

No comments:

Post a Comment